Nekad terjun dari kereta, wanita takut dipukul suami di Sungai Petani

Seorang wanita nekad terjun dari kereta yang sedang bergerak di Jalan Lencongan, Sungai Petani kerana takut dipukul suaminya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa membuat laporan polis dan memaklumkan bahawa dia bertindak demikian demi menyelamatkan diri.
Siasatan awal menunjukkan berlaku pergelutan di dalam kereta selepas wanita itu didakwa diseret masuk oleh suaminya ketika berada di sebuah stesen minyak di Sungai Lalang kira-kira jam 6 petang.
Ketika melalui lokasi kejadian, mangsa membuka pintu dan terjun kerana bimbang dengan keadaan suami yang dipercayai sedang marah.
Pasangan itu difahamkan berkahwin sejak Oktober 2024 namun sudah tinggal berasingan sejak sebulan lalu selepas mangsa mendakwa sering dipukul. Susulan laporan tersebut, suami wanita berkenaan direman untuk membantu siasatan.



