ADTEC JTM meterai kerjasama strategik dengan MABES, latihan percuma siap elaun dan jaminan kerja

Jabatan Tenaga Manusia (JTM) melalui rangkaian ADTEC memeterai kerjasama strategik dengan Malaysian Airlines Berhad Engineering Services (MABES) menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menegaskan, kerjasama ini memberi kelebihan besar kepada pelajar JTM apabila latihan teknikal bersama MABES ditawarkan secara percuma.
“Mereka diberikan guaranteed job employment. Jadi mereka habis latihan mereka, bukan saja diberikan secara percuma, bukan saja mereka dibayar untuk menjalankan latihan tersebut, maka mereka juga mendapat satu peluang pekerjaan yang telah dipastikan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan sejak 2010 hingga 2026, lebih satu juta pelajar telah dilatih dengan kadar kebolehkerjaan mencecah 95.5 peratus serta tahap kepuasan majikan sebanyak 97.2 peratus.
“Setakat ini kita ada lebih kurang 400 syarikat yang kami menjalinkan satu perhubungan di mana kami habis latih pelajar, kami akan berikan mereka peluang pekerjaan di syarikat-syarikat tersebut. Contohnya Proton, Petronas, Huawei, Epson dan sebagainya,” tambahnya.
Beliau turut mendedahkan perancangan pembinaan hangar latihan penerbangan bernilai RM20 juta di Shah Alam bermula 2026 bagi menyokong latihan bersama MABES dan pensijilan industri berkaitan.




