Peraturan lebih ketat bagi kenderaan berpendaftaran asing isi RON95 bermula April – KPDN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan peraturan baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi melarang pembelian petrol RON95 bersubsidi oleh kenderaan berdaftar asing bermula 1 April ini.
Menurut Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali, langkah itu bertujuan menutup kelemahan peraturan sedia ada yang sebelum ini hanya melarang penjualan kepada kenderaan asing, sekali gus mengehadkan tindakan penguatkuasaan terhadap pengusaha stesen minyak sahaja.
Menerusi peraturan baharu ini, tindakan juga boleh diambil terhadap pemilik atau pemandu kenderaan berdaftar asing yang membeli RON95.
Peraturan tersebut sedang dimuktamadkan sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh pemantauan dan mengekang ketirisan subsidi bahan api.




