Pemandu riba wanita dipecat, Sri Maju Group mula pasang CCTV dalam bas ekspres

Pemandu bas ekspres yang dirakam memandu dengan seorang wanita duduk di atas ribanya dalam video tular telah ditamatkan perkhidmatan serta-merta oleh Sri Maju Group.
Syarikat itu mengesahkan kejadian berlaku dalam bas laluan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Larkin, Johor Bahru semalam dan menyifatkannya sebagai serius serta tidak boleh diterima.
Selain memecat pemandu terbabit, syarikat turut membuat laporan polis, memaklumkan insiden kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan memberi kerjasama penuh dalam siasatan.
Sebagai langkah penambahbaikan, sistem pemantauan video dalam bas sedang dipasang pada semua kenderaan bagi meningkatkan kawalan keselamatan.
Sri Maju Group turut memohon maaf kepada penumpang dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan keselamatan serta melanggar SOP pemandu.



