Permohonan pengampunan Najib ditangguh ke mesyuarat akan datang

Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan datang. Perkara itu dimaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri hari ini.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10.30 pagi di Istana Negara dan dipercayai dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Mesyuarat itu turut dihadiri Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.
Dalam mesyuarat sama, Sultan Ibrahim turut berkenan membebaskan 65 banduan. Semua banduan bukan warganegara yang dibebaskan perlu diusir dan dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh enam bulan.




