Mayat wanita reput ditemui di KLIA

Mayat seorang wanita dipercayai berusia 20-an ditemui dalam keadaan reput berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 1 September lalu. Penemuan itu dilaporkan orang awam sekitar jam 7.50 malam.
Keadaan mayat amat tragis dengan bahagian kepala hanya tinggal tengkorak, dipercayai sudah meninggal lebih seminggu sebelum dijumpai.
Mangsa berpakaian lengkap iaitu T-shirt putih jenama Drum bertulis ‘Fear Less’ bersaiz XS serta seluar kargo pendek krim bersaiz L, namun tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
Hasil bedah siasat di Hospital Serdang mengesan empat kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa, sekali gus menguatkan syak bahawa wanita itu dibunuh.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala identiti mangsa dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Polis meminta waris atau orang ramai yang mempunyai maklumat tampil segera ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Deputi Superintendan Tee Ah Chew di talian 018-2183555.




