Gagal Pindaan: Tindakan salahkan pembangkang serlah sifat kebudak-budakan – Takiyuddin

PAS menolak dakwaan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang menyalahkan pembangkang susulan kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri diluluskan di Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kegagalan itu berpunca daripada kerajaan sendiri yang tidak berjaya memastikan kehadiran dan sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimennya bagi mencapai majoriti dua pertiga.
Takiyuddin menegaskan pembangkang sejak awal menyatakan sebarang cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri perlu diteliti secara menyeluruh dalam kerangka Perlembagaan, termasuk mengambil kira peranan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a).
RUU berkenaan gagal melepasi bacaan kedua pada Isnin lalu selepas hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, kurang dua undi daripada 148 undi yang diperlukan. Seramai 44 Ahli Parlimen berkecuali manakala 32 lagi tidak hadir ketika pengundian.




