Tiga jurulatih Palapes mengaku tidak bersalah kes kematian Syamsul Haris

Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas tuduhan menyebabkan kematian pelatih Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Syamsul Haris Shamsudin, tahun lalu.
Tertuduh ialah Mohd Azmi Abu Bakar, 40, Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30, dan Mohd Norbuangani Mislan, 41.
Mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kematian mangsa berusia 22 tahun itu di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara antara 2 hingga 3 petang, 28 Julai 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport antarabangsa. Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 April depan.




