Toyota Camry milik Teresa Kok dipecah di Bukit Kiara, rugi kira-kira RM6,500

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, kerugian dianggarkan RM6,500 selepas keretanya dipecah di kawasan parkir Taman Persekutuan Bukit Kiara, TTDI, pada 22 Februari lalu.
Polis memaklumkan laporan diterima pada jam 7.49 malam. Kejadian dipercayai berlaku antara jam 6.15 petang hingga 7 malam ketika mangsa bersenam di taman berkenaan.
Kereta diparkir dalam keadaan berkunci, namun cermin hadapan sebelah kiri didapati pecah dan beg tangan yang mengandungi dokumen, telefon bimbit serta wang tunai telah hilang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan oleh Pegawai Penyiasat Kanan ASP Mohd Adnan Alias dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Brickfields.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt Ahmad Firdaus Mustaffa Kamal, pasukan operasi sedang giat mengesan suspek dan tiga cap jari yang ditemui pada kenderaan telah dihantar ke BIOFIS Bukit Aman untuk tindakan lanjut.



