Kalau gaji lelaki Bangladesh ini RM5,000 sebulan, berapa pula simpanan dia agaknya?

Ramai netizen mula mempersoalkan nasib diri mereka apabila melihat seorang lelaki warga Bangladesh yang berpakaian serba sederhana rupanya meraih pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.
Realiti itu dipaparkan oleh sebuah akaun TikTok, SyokGeng yang menemubual lelaki dari Bangladesh bernama Anis, dengan bertanyakan tentang pekerjaan dan gaji yang diperolehinya.
Kata Anis, dia dibayar sehingga RM5,000 sebulan dan perlu bekerja lebih kurang 10 jam untuk sehari tanpa cuti hujung minggu seperti yang dinikmati kebanyakan warga kerja di Malaysia.
Dia malah mengakui enggan pulang ke negara asalnya kerana gaji sebulannya itu cukup berbaloi meskipun beban kerjanya agak berat dan teruk.
Di ruangan komen, ramai yang mempertikaikan kadar bayaran pendapatan yang dikenakan kepada warga asing ketika majoriti rakyat Malaysia masih sesak dengan gaji minima RM1,700 sebulan.
Tidak kurang juga yang mengakui bahawa belum tentu rakyat Malaysia pada hari ini sanggup untuk bekerja setiap hari tanpa hari cuti, malah ada yang bertanyakan tentang maklumat syarikat lelaki itu kerana gajinya lumayan.



