Fenomena ‘Supermoon’, meteor malam ini, dijangka yang terbesar dan paling cerah

Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena ‘supermoon’ terbesar dan tercerah tahun ini pada jam 9.19 malam ini (5 November).
Fenomena ini berlaku apabila bulan berada paling hampir dengan Bumi di titik perigee, iaitu pada jarak sekitar 356,832 kilometer.
Supermoon kelihatan 14% lebih besar dan 30% lebih terang berbanding bulan purnama biasa, dan boleh dinikmati dengan mata kasar namun penggunaan teropong atau pemerhatian di kawasan jauh dari cahaya bandar akan memberikan pandangan lebih jelas.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), hujan meteor Taurid Selatan turut dijangka memuncak antara 9 malam ini hingga awal pagi esok (6 November).
Sekitar lima meteor sejam dijangka kelihatan, namun tahap kecerahan bulan mungkin menjejaskan penglihatan meteor.
Bulan purnama ini akan terus kelihatan penuh selama tiga hari, menjadikannya peluang terbaik untuk menikmati keindahan langit malam yang jarang berlaku.




