Peranan komunikator memanusiakan teknologi dalam era AI – Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan bahawa dalam era kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi cara maklumat dicipta dan dikongsi, peranan komunikator amat penting untuk memastikan teknologi terus berpaksikan nilai kemanusiaan.
Baginda menekankan bahawa tanggungjawab wartawan, ahli strategik, pendidik dan pemimpin bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi juga memastikan inovasi tidak menggantikan empati dan kepantasan tidak mengatasi keikhlasan dalam berkomunikasi.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berucap dalam Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global 2025 (GPRCFMY 2025) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTCKL), pada Khamis yang menghimpunkan lebih 500 pemimpin komunikasi, profesional media dan pembuat dasar dari dalam dan luar negara.
Sultan Nazrin turut menekankan bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian yang menyatukan rakyatnya, justeru tutur bicara yang membina dan berhemah menjadi cerminan tahap kesantunan sesebuah bangsa.




