Warga Indonesia tersakiti ketika Malaysia bangga Aisha Retno diapit Ariana Grande

Ketika rakyat Malaysia tumpang bangga melihat Aisha Retno diapit Ariana Grande dan Cynthia Erivo di karpet kuning Universal Studios Singapore baru-baru ini, suasana di ruangan komen pula berbeza apabila video itu turut menarik perhatian besar warga Indonesia.
Aisha yang menghadiahkan kain batik Malaysia kepada dua bintang filem Wicked itu menerima kecaman hebat daripada netizen Indonesia yang mempersoalkan kenyataannya mengenai asal-usul batik.
Mereka menganggap Aisha tidak mengetahui sejarah batik dan menegaskan batik berasal dari negara mereka.
Walaupun netizen Malaysia cuba menjelaskan bahawa batik Malaysia dan Indonesia mempunyai identiti masing-masing, komen itu terus dinafikan dan diserang.
Di sebalik kontroversi itu, Aisha sebenarnya telah mencipta pencapaian penting apabila dipilih menyumbang suara bagi watak Glinda, yang dilakonkan Ariana Grande dalam versi alih suara Bahasa Malaysia Wicked.
Lebih membanggakan, Aisha turut berpeluang menyanyikan lagu runut bunyi For Good bersama kedua-dua selebriti Hollywood sewaktu acara tersebut.




