Lelaki merana seumur hidup, lidah putus digigit bekas kekasih

Seorang lelaki berstatus suami kini berdepan kecederaan kekal selepas sebahagian lidahnya putus ketika cuba memaksa bekas kekasihnya bercium di sebuah kawasan kolam di Kanpur, Uttar Pradesh.
Insiden berlaku ketika wanita itu keluar mengambil tanah liat, sebelum lelaki berusia 35 tahun itu mengikutnya, memegang dan cuba mencabulnya.
Lelaki tersebut yang dipercayai tidak dapat menerima bahawa wanita itu bakal berkahwin dengan pilihan keluarganya didakwa terus memaksa untuk mencium mangsa.
Dalam keadaan mempertahankan diri, wanita itu menggigit lidahnya sehingga putus, menyebabkan lelaki itu menjerit kesakitan dan mengalami pendarahan teruk.
Penduduk yang mendengar jeritan segera menghubungi keluarganya sebelum dia dibawa ke pusat kesihatan dan kemudian dirujuk ke hospital lebih besar di Kanpur.
Pihak berkuasa mengesahkan kes siasatan dibuka terhadap lelaki itu berhubung perbuatan serangan seksual tersebut.




