Penat dengan kerja, jururawat bunuh 10 pesakit di hospital supaya dapat balik awal

Seorang jururawat penjagaan paliatif di Jerman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati membunuh 10 pesakit dan cuba membunuh 27 lagi semata-mata untuk mengurangkan beban tugasnya pada syif malam.
Lelaki itu, yang identitinya tidak didedahkan, dikesan menyuntik pesakit yang kebanyakannya warga emas dengan dos morfin dan ubat penenang yang berlebihan di sebuah hospital di bandar Wuerselen antara Disember 2023 hingga Mei 2024.
Tindakannya menyebabkan pesakit cepat tenat dan mati, sekali gus membolehkannya menamatkan tugas lebih awal.
Pihak berkuasa percaya jumlah mangsa mungkin lebih ramai, dengan beberapa kubur telah digali semula bagi mengenal pasti kemungkinan mangsa tambahan.
Jururawat itu mula bekerja di hospital berkenaan pada 2020 selepas menamatkan latihan pada 2007. Dia ditahan pada 2024 selepas corak kematian mencurigakan mula dikesan.
Mahkamah memutuskan kesalahannya berada pada tahap sangat berat, menyebabkan dia tidak layak dipertimbangkan untuk pembebasan awal selepas 15 tahun. Namun, dia masih mempunyai hak untuk merayu.




