Wanita parah tersepit, suami cedera dalam nahas di Jambatan Pulau Pinang

Seorang wanita cedera parah selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 1.3 Jambatan Pertama Pulau Pinang menghala ke Perai, awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.49 pagi itu, mangsa, Salina Sahak, 45, yang menaiki Toyota Hilux bersama suaminya, Zahrani Ismail, 47, mengalami kecederaan parah, manakala suaminya cedera ringan.
Pemandu sebuah lagi kenderaan, Honda BR-V, Muhammad Nor Hidayat Osman, 38, turut cedera ringan di kepala.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dengan bantuan dari Jalan Perak tiba di lokasi pada jam 4.02 pagi.
Mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada Bulan Sabit Merah untuk dibawa ke hospital.
Operasi menyelamat melibatkan 19 anggota bomba tamat pada jam 5.37 pagi.




