Dunia
Dakwaan mengintip, Rusia tahan wartawan Jepun

Rusia menahan wartawan Jepun, Yuki Imai dari akhbar Hokkaido Shimbun, atas dakwaan mengintip dan mengumpul maklumat pertahanan untuk Tokyo.
Imai ditahan di wilayah Sakhalin, sehari sebelum dijadualkan meninggalkan Rusia, sebelum dibawa ke Moscow untuk menjalani tahanan praperbicaraan sehingga 12 Disember.
Pihak berkuasa Rusia mendakwa Imai mengumpul maklumat berkaitan individu yang terlibat dalam operasi ketenteraan di Kepulauan Kuril. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Jepun berkata pihaknya masih mendapatkan maklumat lanjut dan belum dapat menghubungi Imai. Penahanan itu berlaku ketika hubungan kedua-dua negara tegang susulan pertikaian wilayah Kepulauan Kuril yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu.




