
Malaysia dan China bersetuju memperkukuh kerjasama keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras jenayah rentas sempadan, khususnya pengedaran dadah serta penipuan telekomunikasi dan siber.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata persetujuan itu dicapai menerusi pertemuan dua hala bersama Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong, di Beijing semalam.
Kerjasama itu merangkumi perkongsian risikan, penyelarasan siasatan dan operasi penguatkuasaan. Malaysia turut mencadangkan penubuhan Kumpulan Kerja Bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pihak berkuasa antidadah China bagi memperkukuh pertukaran maklumat dan latihan bersama.
Menurut Ahmad Zahid, kerjasama terdahulu membuahkan hasil menerusi rampasan lebih 1.03 tan fentanyl citrate dalam Operasi Black Ash dan Blackwood pada Ogos 2025.
Kedua-dua negara juga akan mempertingkat usaha membanteras penipuan siber, termasuk siasatan rentas sempadan dan mendapatkan semula aset yang dicuri.




