Pergaduhan Taman Medan Jaya bukan isu perkauman, lima lelaki ditahan

Pergaduhan yang tular di Taman Medan Jaya, Petaling Jaya pada 9 Oktober lalu berpunca daripada ketidakpuasan hati terhadap tindakan pihak pengurusan kawasan perumahan memutuskan bekalan elektrik, bukannya isu perkauman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan mendapati bekalan elektrik ke premis perniagaan yang disyaki beroperasi secara tidak sah telah dipotong oleh badan pengurusan bersama (JMB).
Permintaan seorang lelaki untuk menyambung semula bekalan elektrik pada 9 Oktober ditolak kerana melanggar peraturan, sebelum lelaki itu membawa beberapa rakannya untuk berdepan dengan pihak pengurusan dan penduduk.
Insiden itu menjadi perhatian selepas video pergaduhan tersebar di media sosial, memaparkan beberapa individu bertengkar dengan penduduk, termasuk seorang yang memegang parang.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu dan menahan lima lelaki tempatan yang dipercayai terbabit. Kesemua mereka direman selama sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Shazeli berkata, kertas siasatan masih dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya menyalurkan maklumat atau khabar angin berkaitan kejadian kepada polis bagi mengelakkan isu berkenaan mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.




