Asrama terbakar tengah malam, 101 pelajar berjaya selamatkan diri

Seramai 101 pelajar lelaki berjaya menyelamatkan diri selepas asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Tarbiah Diniah di Jalan Pegawai, Kulim terbakar dalam kejadian awal pagi, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kedah menerima panggilan kecemasan pada jam 2.47 pagi sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim bersama BBP Kulim Hi-Tech serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas dan Kulim dikerahkan ke lokasi.
Kebakaran memusnahkan kira-kira 65 peratus bahagian tingkat atas bangunan asrama lelaki dua tingkat.
Bagaimanapun, tiada mangsa cedera kerana semua pelajar sempat keluar dan berkumpul di kawasan selamat sebelum bomba tiba.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.09 pagi, manakala kerja-kerja pemeriksaan diteruskan bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.



