Niat curi kabel berakhir maut, mayat lelaki ditemukan melekat pada kabel

Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an ditemukan maut dengan tangannya masih melekat pada kabel elektrik dipercayai selepas terkena renjatan ketika cuba mencuri kabel di Kapar.
Ketua Polis Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, mangsa ditemukan orang awam sebelum polis digerakkan ke lokasi. Siasatan mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kegiatan mencuri kabel.
Menurutnya, polis turut menemukan peralatan memotong kabel, mangga dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan mangsa.
Waris keluarga kemudian mengecam mayat berkenaan. Kes disiasat sebagai laporan mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk bedah siasat.
Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan kabel terbabit miliknya dan memaklumkan ia merupakan kabel pihak ketiga. TNB berkata kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti vandalisme dan pihaknya akan memberikan kerjasama kepada polis dalam siasatan lanjut.




