Sivakumar persoal tindakan Timbalan Menteri turun perhimpunan Indira Gandhi

Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih (Team DSK), Datuk N. Sivakumar mempersoalkan keperluan seorang Timbalan Menteri hadir ke perhimpunan aman bagi menuntut penyelesaian kes Indira Gandhi.
Ini sedangkan beliau telah dua tahun memegang portfolio berkaitan perundangan di Jabatan Perdana Menteri.
Menurutnya, kes pencarian Prasana Diksa yang berlarutan sejak 15 tahun lalu sepatutnya sudah diberi perhatian melalui saluran rasmi kerajaan, bukan melalui penyertaan dalam demonstrasi yang lazimnya menjadi wadah tekanan rakyat.
Kehadiran seorang anggota pentadbiran dalam perhimpunan awam juga dilihat mengelirukan kerana ia menggambarkan seolah-olah kerajaan sendiri tidak mampu menangani isu yang berada dalam bidang kuasa mereka.
Beliau menambah bahawa rakyat hanya mahukan penyelesaian kepada kes hak penjagaan paling rumit dalam sejarah negara itu.




