Pelajar Tingkatan Dua mati ditembak rakan ketika bersembunyi

Seorang pelajar Tingkatan Dua maut selepas ditembak rakan sendiri ketika bermain sembunyi-sembunyi di halaman sebuah rumah di Jalan Kem PPH, Keningau, pagi Ahad.
Mangsa berusia 14 tahun terkena tembakan dari senapang buatan sendiri (bakakuk) yang dilepaskan secara tidak sengaja dari jarak kira-kira tiga meter.
Mangsa yang bersembunyi di bawah kolong rumah rebah dengan 14 kesan tembakan pada badan. Dia dikejarkan penduduk kampung ke Hospital Keningau tetapi disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan.
Siasatan awal mendapati rakan mangsa, juga berusia 14 tahun, memegang bakakuk yang diambil secara bergurau sebelum picu tertarik dan tembakan terlepas ke arah mangsa.
Senjata itu dikatakan disorokkan abang suspek berusia 13 tahun, manakala pemiliknya ialah bapa mereka berusia 70 tahun.
Ketiga-tiga beranak tersebut ditahan untuk siasatan, manakala polis turut merampas senjata, peluru, kelongsong dan beberapa barangan lain. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



