IJM Corporation tolak dakwaan pengubahan wang haram, operasi perniagaan seperti biasa
IJM Corporation Bhd menafikan sebarang salah laku dan menegaskan komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa susulan laporan media yang tersebar.
Syarikat memaklumkan Pengerusi, Tan Sri Krishnan Tan, telah bertemu pegawai SPRM dan memberikan kerjasama penuh, manakala beberapa kakitangan lain yang diminta turut membantu siasatan.
IJM turut menjelaskan bahawa syarikat serta rakan sekutunya di United Kingdom tidak mengetahui sebarang siasatan oleh Pejabat Penipuan Serius (SFO) UK dan menegaskan tidak pernah dihubungi oleh agensi berkenaan.
Syarikat juga menolak dakwaan pengubahan wang haram, khususnya berkaitan pelaburan di UK, sambil menjelaskan pembiayaan projek sejak 2012 diperoleh melalui institusi kewangan Malaysia dan tertakluk kepada proses tadbir urus serta penilaian dalaman kumpulan.
IJM menegaskan operasi perniagaan berjalan seperti biasa dan komited mengekalkan standard tinggi tadbir urus, ketelusan dan integriti, dengan sebarang perkembangan material akan dimaklumkan mengikut keperluan.



