Bali bakal semak penyata bank pelancong asing mulai 2026

Pulau Bali akan memperketat syarat kemasukan pelancong asing mulai 2026, termasuk pemeriksaan keupayaan kewangan dengan semakan baki akaun simpanan sebelum dibenarkan masuk.
Langkah itu sebahagian usaha pihak berkuasa Indonesia untuk menumpukan kepada pelancongan berkualiti, bukan lagi sekadar jumlah kehadiran pelawat.
Pelancong asing dikehendaki mengemukakan maklumat kewangan berdasarkan baki akaun simpanan bagi tempoh tiga bulan terkini.
Selain aspek kewangan, pelancong juga perlu memaklumkan tempoh penginapan serta aktiviti yang dirancang sepanjang berada di Bali, bagi memastikan lawatan lebih terkawal dan teratur.
Pendekatan baharu ini selari dengan dasar wilayah Bali yang menekankan pembangunan pelancongan mampan, susulan peningkatan mendadak jumlah pelancong, dengan lebih tujuh juta ketibaan direkodkan sepanjang 2025.




