Tidur dalam kereta boleh bawa maut, bagaimana cara lebih selamat?

Public Health Malaysia mengingatkan orang ramai supaya tidak tidur dalam kereta dengan enjin dan pendingin hawa terpasang walaupun tingkap dibuka sedikit.
Tindakan itu tetap berbahaya kerana gas karbon monoksida (CO) daripada ekzos boleh memasuki ruang kenderaan tanpa disedari.
Gas CO tidak berbau dan tidak berwarna, namun ia boleh mengikat sel darah merah jauh lebih kuat berbanding oksigen, menyebabkan otak dan jantung kekurangan oksigen.
Mangsa biasanya akan mengalami pening dan mengantuk sebelum tidak sedarkan diri.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mematikan enjin sepenuhnya dan memastikan kenderaan berada di kawasan terbuka serta selamat sebelum berehat.
Langkah ini penting bagi mengelakkan risiko keracunan karbon monoksida yang boleh membawa maut.



