Pelajar UMPSA hina Islam, pijak Al-Quran ditahan polis

Polis menahan seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) awal pagi tadi bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan suspek ditahan di Pahang dan permohonan reman akan dibuat hari ini.
Penahanan itu susulan penularan gambar memijak al-Quran serta tangkap layar hantaran dan komen menghina Nabi Muhammad SAW yang dikaitkan dengan individu berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, UMPSA menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kandungan berunsur 3R atau hasutan kebencian yang boleh menggugat keharmonian awam.
Universiti memaklumkan siasatan dalaman turut dijalankan dan tindakan tatatertib akan diambil mengikut Kaedah-Kaedah Universiti dan Kolej Universiti (UMPSA) (Tatatertib Pelajar) 2024 jika pelajar terbabit didapati bersalah.


