Malaysia ada 2.85 juta kanak-kanak obesiti, di tangga ke-87 dunia

Malaysia merekodkan 2.85 juta kanak-kanak berusia 5 hingga 19 tahun dengan masalah berat badan berlebihan atau obesiti pada 2025.
Ia sekali gus meletakkan negara di kedudukan ke-87 dunia dalam laporan World Obesity Atlas 2026.
Angka ini dijangka meningkat melebihi 3.1 juta menjelang 2040, dengan ratusan ribu kanak-kanak berisiko tinggi menghidap hipertensi dan penyakit kardiovaskular akibat keadaan tersebut.
Peningkatan ini selari dengan trend membimbangkan di rantau Asia Tenggara yang diramal mencatatkan kadar pertumbuhan obesiti kanak-kanak tertinggi dunia dengan unjuran mencecah 40 juta orang menjelang 2040.
Laporan berkenaan turut memberi amaran bahawa tindakan pencegahan global masih tidak mencukupi, sekali gus mendesak kerajaan untuk segera memperkasakan dasar kesihatan.




