Bapa tak sihat, remaja 13 tahun pandu sendiri Kancil selesaikan urusan

Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditahan selepas didapati memandu kereta di Kulim, Kedah, dalam satu operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dua hari lalu.
Pengarah JPJ Kedah berkata, remaja itu memandu Perodua Kancil sebelum ditahan kira-kira jam 12.45 tengah hari di Jalan Sungai Seluang dalam operasi dijalankan JPJ Sungai Petani.
Siasatan mendapati remaja berkenaan tidak memiliki lesen memandu sah kerana belum mencapai umur kelayakan, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Remaja itu memaklumkan dia memandu kerana bapanya kurang sihat dan perlu menyelesaikan urusan.
Susulan itu, JPJ mengeluarkan saman terhadap remaja terbabit serta bapanya yang turut berada dalam kenderaan berkenaan, manakala kereta itu tidak disita kerana cukai jalan masih sah.



