PNM perkenal Quickbook2U dan QuickKarel, mudahkan urusan tempah buku

Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) memperkenalkan dua sistem baharu, iaitu Quickbook2U@PNM dan QuickKarel, bagi memperkukuh perkhidmatan digital.
Quickbook2U@PNM merupakan inovasi digital yang membolehkan pengguna menempah buku secara dalam talian tanpa perlu hadir secara fizikal ke perpustakaan.
Melalui sistem ini, pengguna boleh mengakses bahan bacaan pada bila-bila masa dan menikmati penghantaran terus ke lokasi mereka.
Sementara itu, QuickKarel pula memudahkan tempahan ruang sewaan secara dalam talian dengan lebih pantas, sistematik dan efisien.
Inisiatif ini meningkatkan kecekapan pengurusan, memendekkan tempoh permohonan, membolehkan semakan bilik secara masa nyata, serta memperbaiki ketepatan tempahan dan pelaporan.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang berkata, kedua-dua sistem ini mencerminkan komitmen berterusan kementerian dalam memodenkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.




