Penyamun gagal kebas RM82,000, sempat larikan pump gun

Cubaan seorang penyamun untuk melarikan wang tunai RM82,000 gagal apabila petugas syarikat keselamatan bertindak pantas dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang, kira-kira jam 5.30 petang Isnin.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, suspek yang memakai jaket gelap dan topi keledar menghampiri petugas sambil mengacukan objek menyerupai pistol revolver ketika proses pemindahan wang ke dalam van keselamatan sedang dilakukan.
Menurutnya, petugas sempat meletakkan beg berisi RM82,000 ke dalam van sebelum menutup pintu, menyebabkan suspek gagal melarikan wang tersebut. Bagaimanapun, suspek merampas sepucuk senjata api jenis pump gun milik petugas sebelum melarikan diri menaiki motosikal Yamaha.
Polis kini giat mengesan suspek menerusi rakaman CCTV, dashcam dan sekatan jalan raya. Siasatan turut dijalankan termasuk kemungkinan penglibatan orang dalam, manakala orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.




