Cedera, kekejangan tak halang Logachandran takluk 12 gunung dalam 7 hari

Pendaki Logachandran Ramachandran berjaya menamatkan cabaran mendaki 12 gunung di tujuh negeri dalam tempoh tujuh hari, walaupun berdepan kecederaan kaki, kekejangan otot, alahan akibat gigitan serangga, kurang tidur dan cuaca buruk.
Cabaran sempena Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 itu bermula pada 25 Ogos di Gunung Ledang, Johor dan berakhir di Gunung Siku, Pahang, pada jam 3.19 pagi, 1 September.
Sebelum itu, beliau menawan Gunung Ruil pada jam 9.45 malam, 31 Ogos, sebelum meneruskan pendakian ke Gunung Siku pada jam 12.27 tengah malam.
Beliau turut mendapatkan rawatan bagi kecederaan dan kekejangan otot sebelum meneruskan pendakian.
Pencapaian itu merupakan peningkatan daripada kejayaannya tahun lalu apabila beliau mendaki sembilan gunung dalam tujuh hari dan mencatat nama dalam Malaysia Book of Records.
Logachandran mendedikasikan cabaran kali ini kepada Malaysia sempena Hari Kebangsaan, selain merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan sokongan sepanjang misi berkenaan.
Telus Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Logachandran atas kejayaan menamatkan cabaran luar biasa ini.




