
Rancangan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Chennai, Tamil Nadu akhirnya dibatalkan selepas tiada maklum balas rasmi diterima daripada pejabat Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay.
Anwar sebelum ini dijadualkan ke Chennai selepas menghadiri Sidang Kemuncak Negara Rakan BRICS di New Delhi bagi mengadakan pertemuan dengan Vijay.
Perkembangan berkenaan dipercayai menimbulkan kekecewaan pihak Malaysia selepas tiada maklum balas rasmi diterima daripada pejabat Ketua Menteri Tamil Nadu, C. Joseph Vijay, sehingga saat akhir.
Menurut sumber, rancangan itu telah dimaklumkan kepada pihak Vijay menerusi Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran, ketika kunjungannya ke Chennai pada Mei lalu. Ketika menghubungi Vijay bagi mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Ketua Menteri pada Mei, Anwar turut dilaporkan menyatakan hasrat untuk berkunjung ke Tamil Nadu pada September.
Beberapa program turut dirancang sempena lawatan itu, termasuk sambutan hubungan India-Malaysia, dialog perdagangan serta pertemuan perniagaan dengan syarikat seperti Zoho, Tata dan Apollo Hospitals.
Gabenor Kerala yang turut memegang tanggungjawab tambahan sebagai Gabenor Tamil Nadu, Rajendra Vishwanath Arlekar, juga dikatakan merancang jamuan teh untuk Anwar di Chennai.
Bagaimanapun, selepas lawatan dibatalkan, beberapa program dan perbincangan perdagangan dipindahkan ke Kerala, dengan Arlekar dijangka bertemu Anwar di sana.
Sumber mendakwa tiada maklum balas jelas diterima daripada pejabat Vijay sehingga saat akhir, menyebabkan pihak Malaysia berada dalam keadaan tidak pasti.
Perkara itu dikatakan mengecewakan kerana lawatan Anwar dilihat sebagai peluang memperkukuh hubungan Malaysia-Tamil Nadu dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, perubatan, kebudayaan dan pelancongan.
Dalam pada itu, Vijay telah berlepas ke London pada 10 September untuk lawatan luar negara pertamanya selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu, dengan fokus menarik pelaburan dan peluang perdagangan ke negeri itu.



