Bayi 13 bulan maut di rumah pengasuh, ibu dan pengasuh ditahan

Seorang bayi lelaki berusia 13 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang pada Selasa, 8 September.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad berkata, bayi itu ditemui pengasuh kira-kira jam 2 petang dengan bibir kebiruan.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang oleh ibunya dan pengasuh pada jam 2.45 petang sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 3.33 petang selepas menerima rawatan kecemasan.
Polis menerima laporan daripada Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pulau Pinang pada jam 5.16 petang. Susulan kejadian, ibu mangsa dan pengasuh wanita berusia 44 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Bedah siasat dijalankan pada Rabu, 9 September, namun punca kematian masih menunggu keputusan analisis makmal.



