Malaysia
Pelajar kejar rakan guna pisau, polis siasat dakwaan buli

Polis siasat dakwaan seorang pelajar tingkatan satu dibuli sebelum kejadian dia mengejar rakan sekolah menggunakan pisau pemotong kotak di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar berkata, bapa pelajar berusia 13 tahun itu membuat laporan polis mendakwa anaknya dibuli oleh tiga rakan sekolah.
Siasatan mendapati tiga pelajar dipercayai membaling ais ke arah mangsa sebelum dia mengambil pisau dari bekas pensel dan mengejar seorang pelajar sejauh kira-kira 50 meter. Tindakan itu dihentikan seorang guru.
Polis turut menyiasat kes buli dan gangguan, manakala pihak sekolah diarahkan memperketat larangan membawa objek tajam ke sekolah.




