Malaysia

‘Bossku’ pulang ke rumah; Najib dibenar jalani baki hukuman di bawah tahanan rumah dengan syarat bayar RM50 juta

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Keputusan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim itu dibuat pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-64.

Di bawah keputusan tersebut, Najib akan menjalani tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, dengan syarat membayar denda RM50 juta. Sekiranya syarat tahanan rumah dilanggar, pengampunan bersyarat itu akan terbatal dan beliau akan dihantar semula ke penjara.

Butiran mengenai syarat-syarat lain bagi pelaksanaan tahanan rumah itu masih belum diumumkan.

Najib sebelum ini disabitkan bersalah atas kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International.

Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya pada hari yang sama.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Persoalan sama ada Najib akan dibenarkan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah telah sekian lama menjadi perhatian dan dinanti-nantikan dalam arena politik serta perundangan negara.

Najib dan pasukan peguamnya sebelum ini mendakwa wujud titah tambahan yang membenarkannya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah susulan keputusan pengampunan pada 2024. Isu berkenaan turut melalui beberapa proses perundangan dan terus mendapat perhatian umum.

Hari ini, keputusan rasmi berhubung perkara yang sekian lama dinantikan itu akhirnya diumumkan.

Sementara itu, rayuan Najib terhadap hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion dalam kes berasingan berkaitan 1MDB masih belum diputuskan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker