Tiga lelaki China dituduh edar methamphetamine seberat 26kg

Tiga lelaki warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamin seberat 26.025 kilogram di sebuah pangsapuri di Kompleks Adorna Gold, Pulau Pinang, pada 20 Disember lalu.
Tertuduh, Xie Zhouji, 38; Zhang Mea, 32; dan Chen Cheng, 36, memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kes dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 25 Februari depan untuk sebutan semula bagi menunggu laporan kimia.



