Rela hentikan pergaduhan di tokong Ampang, 13 lelaki ditahan

Seramai 13 lelaki berusia antara 15 hingga 20 tahun ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di sebuah tokong di Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, awal pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 12.01 tengah malam sebelum anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas di lokasi bertindak meleraikan pergaduhan itu.
Anggota Rela turut merampas dua objek yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan, iaitu sebatang cota besi dan kayu besbol. Pihak pengurusan tokong kemudian menghubungi polis sebelum menyerahkan kesemua 13 lelaki terbabit bersama barangan rampasan untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).




