KKM rancang libatkan 10,000 kaunselor berdaftar tangani isu kesihatan mental

Kementerian Kesihatan (KKM) merancang menggembleng khidmat kira-kira 10,000 kaunselor berdaftar di seluruh negara bagi menangani masalah kesihatan mental yang semakin meningkat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu membabitkan kerjasama pakar psikiatri, kaunselor dan profesional lain bagi memastikan individu terjejas menerima bantuan yang bersesuaian.
Menurut beliau, perkhidmatan kesihatan mental kini tersedia di 1,116 klinik kesihatan di seluruh negara, selain hospital kerajaan dan pusat kesihatan mental komuniti MENTARI.
KKM juga merancang memperluas latihan kepakaran bagi menambah bilangan pakar psikiatri dan meningkatkan akses kepada rawatan.
Ketika ini, Malaysia mempunyai seorang pakar psikiatri bagi setiap 69,000 penduduk. KKM menyasarkan nisbah seorang pakar bagi setiap 40,000 penduduk untuk memenuhi keperluan rawatan yang semakin meningkat.



