PDRM tumpas sindiket dadah RM600 juta di Lembah Klang

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah jenis MDMA atau ‘ecstasy’ bernilai hampir RM600 juta dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang pada 10 September lalu.
Empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 51 tahun ditahan termasuk koordinator sindiket, seorang ahli kimia, pembantu serta pengangkut.
Serbuan di tiga lokasi berasingan di Kepong dan Dataran Templer turut menemukan sebuah makmal haram lengkap dengan peralatan pemprosesan.
Secara keseluruhan, polis merampas lebih 3,500 kilogram MDMA bernilai RM598.9 juta yang berpotensi memberi kesan kepada lebih 12 juta pengguna jika terlepas ke pasaran.
Semua suspek kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.
Sehingga 14 September tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik merekodkan lebih 174,000 kes siasatan dengan 189,000 tangkapan berkaitan dadah, manakala nilai rampasan dianggarkan hampir RM2 bilion.




