Bali henti pembinaan lif kaca di Pantai Kelingking selepas siap 70%

Pihak berkuasa Bali mengarahkan penghentian sementara projek pembinaan lif kaca di Kelingking Beach, Nusa Penida, selepas mendapati pembinaan yang kini hampir 70 peratus siap itu melanggar beberapa syarat permit serta menimbulkan risiko keselamatan dan alam sekitar.
Projek bernilai 200 bilion rupiah (kira-kira RM60 juta) itu dibangunkan oleh PT Bangun Nusa Properti dengan sokongan pelabur dari China dan mula dibina pada Julai 2023.
Ia sebelum ini tular di media sosial selepas rakaman menunjukkan struktur besi besar dan kren yang mencacatkan pemandangan tebing ikonik berbentuk dinosaur di pantai tersebut.
Menurut Jawatankuasa Khas Perancangan Ruang dan Perlesenan Bali (TRAP), siasatan mendapati pembinaan lif kaca setinggi hampir 182 meter itu dijalankan dalam zon perlindungan pantai dan tidak sejajar dengan seni bina serta nilai warisan Bali.
Pantai Kelingking merupakan antara destinasi paling terkenal di Bali, namun ia tidak selamat untuk mandi kerana arus kuat dan keadaan tebing yang curam.
Pengunjung yang mahu turun ke pantai perlu menempuh perjalanan hampir sejam menuruni laluan curam yang tidak teratur, dan sekitar dua jam untuk mendaki semula ke atas.




