Bayi 4 bulan maut disyaki didera di taska hospital, ibu dedah pernah dengar insiden sama

Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas dipercayai didera di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia walaupun doktor melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) hampir sejam.
Keluarga mangsa mendakwa rakaman CCTV di taska berkenaan menunjukkan unsur penderaan, sekali gus membawa kepada laporan polis dibuat.
Mereka turut memaklumkan sebelum ini pernah terdengar dakwaan ibu bapa lain mengenai insiden kanak-kanak ditampar di taska sama.
Bayi tersebut dihantar ke taska berkenaan sejak beberapa bulan lalu selepas ibunya kembali bekerja, dan keluarga memilih lokasi itu kerana berada dalam kawasan hospital. Kes kini dalam siasatan pihak berkuasa.




