Bibir hitam seperti perokok kerana gemar makan roti, mi segera

Tabiat pemakanan kanak-kanak yang tinggi gluten, gula, dan produk tenusu semakin membimbangkan kerana bukan sahaja menjejaskan tumbesaran, malah boleh merosakkan fungsi usus dan menimbulkan masalah kesihatan jangka panjang.
Nurul Aini Mohd Noor berkongsi pengalaman membesarkan anaknya, Abid, seorang remaja Tingkatan Satu yang menjadi ‘picky eater’, gemar makanan berasaskan tepung seperti roti, roti canai, dan mi segera.
Kekurangan ilmu pemakanan menyebabkan Nurul Aini hanya menurut kehendak Abid sehingga satu peristiwa membuka mata mereka.
Semasa sesi temu duga masuk sekolah menengah, Abid dikejutkan dengan soalan mengenai merokok, yang turut diulang oleh rakan sebaya, pelajar senior dan guru, menyebabkan tekanan emosi.
Selain itu, Abid mengalami bibir hitam dan kegatalan di siku. Pemeriksaan pakar mendapati ia berpunca daripada pengambilan makanan bergluten, tinggi gula, dan diproses, yang merosakkan fungsi ususnya.
Selepas beberapa bulan rawatan dan perubahan pemakanan, bibir Abid semakin pulih dan kulit di siku kembali sihat. Nurul Aini mengakui usaha menukar tabiat pemakanan keluarga memerlukan disiplin tinggi dan pengorbanan, namun ia penting demi kesihatan dan kesejahteraan keluarga jangka panjang.




