
Taman tema Upin & Ipin akan dibangunkan di King’s Park, Genting Highlands, Pahang sempena ulang tahun ke-20 siri animasi popular itu.
Projek berkenaan diumumkan oleh Les’ Copaque Production Sdn Bhd menerusi majlis menandatangani perjanjian bersama King’s Park Management Sdn Bhd di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Taman tema ini akan menampilkan pelbagai tarikan imersif berasaskan watak dan dunia Upin & Ipin, sekali gus memperluaskan jenama animasi tempatan yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa.
Upin & Ipin sebelum ini mencipta kejayaan besar menerusi pelbagai anugerah serta filem pecah panggung seperti Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! dan Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal.




