Ekonomi Malaysia melonjak, Bank Dunia naikkan unjuran kepada 5.1 peratus

Bank Dunia menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 kepada 5.1 peratus, berbanding 4.4 peratus sebelum ini. Unjuran itu turut mengatasi pertumbuhan serantau sebanyak 4.5 peratus.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata, pertumbuhan itu banyak didorong permintaan luar, khususnya pelaburan dan eksport berkaitan kecerdasan buatan atau AI.
Menurutnya, lebih 70 peratus pertumbuhan eksport Malaysia pada awal 2026 disumbang peningkatan permintaan terhadap produk berkaitan AI. Ekonomi negara juga dijangka berkembang 4.7 peratus pada 2027.
Bagaimanapun, Bank Dunia memberi amaran sektor selain AI masih lemah. Kelembapan pelaburan AI global, harga tenaga tinggi dan perdagangan dunia turut boleh menjejaskan ekonomi Malaysia.




