Guru besar, isteri maut dalam rumah di Sri Aman akibat kemurungan – Polis

Kemurungan dikenal pasti sebagai punca kejadian pembunuhan pasangan suami isteri di Sri Aman pada 14 Januari lalu.
Polis Sarawak memaklumkan lelaki terbabit, yang juga seorang guru besar, dipercayai mengalami kemurungan sejak bertukar ke sebuah sekolah di Lubok Antu berdasarkan keterangan keluarga, rakan dan rakan sekerja.
Siasatan mendapati senjata tajam yang digunakan hanya mengandungi DNA kedua-dua mangsa, sekali gus menolak penglibatan pihak ketiga.
Kes itu melibatkan pasangan berusia 45 dan 44 tahun yang ditemui meninggal dunia dengan kecederaan parah di rumah mereka di Taman Mutiara, Sri Aman, selepas polis menerima maklumat orang awam pada jam 6.55 pagi.
Polis kini menunggu laporan forensik telefon bimbit mangsa bagi melengkapkan siasatan dan mengenal pasti motif kejadian dengan lebih terperinci.




