Hanya 2.8 juta daftar MyDigital ID, kerajaan pertimbang wajibkan pendaftaran

Setakat suku kedua 2025, hanya kira-kira 2.8 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk MyDigital ID, satu peningkatan sederhana berbanding 1.8 juta pada suku pertama tahun ini.
Susulan kadar pendaftaran yang masih rendah, kerajaan kini mempertimbangkan untuk menggubal akta baharu bagi menggalakkan atau mewajibkan pendaftaran MyDigital ID, yang pada masa ini masih bersifat sukarela.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, perbincangan lanjut sedang dilakukan bagi mencari mekanisme terbaik agar lebih ramai rakyat menyertai sistem identiti digital nasional ini.
MyDigital ID kini boleh digunakan untuk pelbagai perkhidmatan seperti log masuk ke portal MyGOV, akses aplikasi MyJPJ dan pengesahan identiti pemilik SIM prabayar.
Sehingga kini, sebanyak 82 sistem termasuk 35 aplikasi kerajaan dan tujuh aplikasi swasta telah berjaya diintegrasikan dengan platform ini.
Kerajaan menjangka pendaftaran akan terus meningkat apabila lebih banyak sistem kerajaan dan swasta menggunakan MyDigital ID sebagai kaedah pengesahan utama.
Dalam masa sama, jaminan keselamatan seperti penggunaan teknologi biometrik dan kriptografi turut diterapkan bagi melindungi data pengguna.




