Hanya 41.2% pencarum KWSP ada simpanan cukup selepas bersara

Hanya 41.2 peratus atau 3.1 juta ahli aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sektor formal berusia antara 18 hingga 55 tahun mencapai tahap simpanan asas mengikut umur setakat akhir 2025.
Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata ini bermakna 58.8 peratus lagi, bersamaan 4.42 juta ahli, masih belum mencapai sasaran minimum bagi memastikan simpanan mencukupi ketika bersara.
Tahap simpanan asas yang disasarkan ialah RM390,000 pada umur 60 tahun menjelang 2030.
Bagi mengukuhkan kedudukan simpanan, kerajaan dan KWSP memperkenalkan penanda aras Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) sebagai panduan kepada ahli sebelum membuat pengeluaran.
Selain itu, usaha seperti Akaun Fleksibel dan galakan caruman sukarela turut dipertingkat bagi membantu ahli membina simpanan jangka panjang.




