‘Inspektor Sheila’ bakal didakwa di mahkamah dalam masa terdekat

Wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ yang tular kerana mempertikai tindakan anggota polis ketika pemeriksaan terhadap seorang lelaki warga Pakistan akan dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Insiden itu berlaku di Jalan Ipoh minggu lalu apabila wanita terbabit didakwa menghalang dan menghina anggota polis yang menjalankan tugas selepas menahan seorang lelaki warga asing yang memandu tanpa lesen.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil kerana menghina.
‘Inspektor Sheila’ difahamkan digantung tugas sejak Jun 2023 susulan beberapa insiden lain yang turut mencetuskan kontroversi melibatkan tindak-tanduknya terhadap orang awam dan anggota keselamatan.



