Jangan hilang adab dan keterlaluan ketika kongsi isu Tun M – Fahmi
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil mengingatkan pencipta kandungan, pempengaruh dan pengguna media sosial supaya menjaga adab serta sifat kemanusiaan ketika berkongsi perkembangan mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Fahmi berkata orang ramai memang ingin mengetahui keadaan terkini Tun Dr Mahathir, namun tidak semua perkara perlu dijadikan berita atau kandungan media sosial.
Beliau turut meminta orang ramai memberikan ruang dan privasi kepada Tun Dr Mahathir serta keluarganya yang masih berduka selepas pemergian Tun Dr Hasmah Mohd Ali. Anak beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebelum ini turut meminta orang ramai menghormati privasi keluarga.
Fahmi juga mengingatkan pengguna supaya tidak menyebarkan kandungan spekulatif, termasuk kandungan AI yang tidak sensitif atau hantaran yang mengaibkan. Jika menemui kandungan sedemikian, orang ramai diminta tidak berkongsi atau memberikan tontonan, sebaliknya melaporkannya kepada MCMC atau polis.




